Isu Sertai Kumpulan Pengganas Filipina; Mahkamah Tetapkan 26 September Sebutan Semula Kes

Isu Sertai Kumpulan Pengganas Filipina; Mahkamah Tetapkan 26 September Sebutan Semula Kes

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

SANDAKAN РMahkamah Sesyen Sandakan pada hari kelmarin, menetapkan 26 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes tiga lelaki dituduh merancang menyertai kumpulan pengganas di Filipina.

Hakim Ummu Kalthum Abdul Samad menetapkan tarikh berkenaan bagi menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)sebelum kes terbabit boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pada 11 Julai lalu, Nor Azmi Zahyi, 48, dan dua warga Indonesia, Faisal Abu Bakar, 24, serta Ali Misron, 36, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sandakan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Nor Azmi dan Faisal didakwa dengan niat hendak pergi ke negara Filipina menerusi Malaysia bagi persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di negara itu.

Mereka ditahan di depan butik di Sandakan, 12.20 tengah hari 15 Jun lalu.

Ali didakwa atas kesalahan sama ketika ditahan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sandakan, 6.15 petang, hari sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabitkesalahan.

Faisal turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu tiga bilah pisau masing-masing berukuran 27.3 sentimeter, pada masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ali turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan yang berkaitan kumpulan pengganas di dalam telefon bimbitnya.

Bagi kesalahan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Mohd Noor.