Majlis Perasmian PAU 2017 Hari Ini Oleh Presiden Parti

Majlis Perasmian PAU 2017 Hari Ini Oleh Presiden Parti

0
SHARE
Sumber Foto; Bernama

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO 2017 bermula hari ini dengan majlis perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Memetik kenyataan Bernama, acara perhimpunan dimulakan dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa diiringi lagu parti “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” yang bergema di Plaza Merdeka, sebelum acara beralih ke Dewan Merdeka.

Najib, yang juga Perdana Menteri, kemudiannya akan menyampaikan ucapan dasar presiden di hadapan 2,761 anggota perwakilan.

Sebelum ucapan dasar, satu laporan kewangan dan keanggotaan dibentangkan oleh Bendahari Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Suasana di PWTC, yang menjadi venue parti terbesar orang Melayu dengan keanggotaan kira-kira 3.5 juta orang, ibarat lautan merah apabila anggota perwakilan memakai baju Melayu dan baju kurung berwarna merah, lambang kekuatan dan keperkasaan solidariti parti.

Perhimpunan agung ini berlangsung selama lima hari sejak Selasa.