Pegawai Polis Direman 6 Hari Kerana Minta Wang Sogokan

Pegawai Polis Direman 6 Hari Kerana Minta Wang Sogokan

0
SHARE

KOTA KINABALU –┬áDua pegawai polis direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung kes meminta sogokan bernilai RM5,000 terhadap seorang wanita dan pasangannya kerana berkhalwat, 3 Disember lalu.

Memetik laporan Astro Awani, Majistret Cindy Mc Juce Balitus membenarkan tahanan reman terhadap kedua-dua anggota polis itu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Pegawai yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal itu, kedua-duanya berusia 39 tahun, bertugas di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), ditahan SPRM pada jam 3.25 petang Khamis.

Difahamkan, dalam kejadian 3 Disember lalu, pasangan kekasih itu ditangkap oleh anggota polis berkenaan ketika menjalankan rondaan di sekitar KKIA kerana berkhalwat.

Kedua-dua anggota itu kemudiannya dipercayai meminta suapan sebanyak RM5,000 dan pasangan itu hanya memberikan wang sebanyak RM1,000 sebelum melaporkan kejadian terbabit kepada pihak SPRM Sabah.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap SPRM itu tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 10.15 pagi dengan diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.

Pembicaraan dikendalikan Pegawai SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.