Suspek Kes Culik Di Lahad Datu Ditembak Mati

Suspek Kes Culik Di Lahad Datu Ditembak Mati

0
SHARE
Sumber Foto; BH Online

KOTA KINABALU – Pasukan keselamatan menembak mati seorang lelaki, disyaki suspek kes culik di Lahad Datu, awal pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, ketika mengesahkannya berkata, kejadian berlaku pada jam 3 pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana satu sidang media berhubung kejadian itu akan diadakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din di ibu pejabat ESSCOM, jam 3 petang ini.

Difahamkan, ini kes pertama membabitkan suspek penculik ditembak mati di pantai timur Sabah pada tahun ini.

Sementara itu, BH difahamkan, suspek disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan.

Suspek ditembak mati di perairan Silam, Lahad Datu, dipercayai ketika cuba melakukan tinjauan di kawasan berkenaan bagi melakukan penculikan.

Sumber memberitahu BH, pasukan keselamatan terserempak dengan suspek yang menaiki sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika cuba dihampiri, suspek melepaskan tembakan menyebabkan anggota keselamatan terpaksa bertindak balas sebelum lelaki terbabit disahkan maut,” katanya.

Pihak berkuasa juga menjalankan siasatan bagi mengenal pasti latar belakang suspek, termasuk hubungannya dengan kumpulan Abu Sayyaf, yang giat melakukan penculikan di perairan Filipina dan Sabah.